Baca, filem ini diharamkan di Malaysia!
Review filem: Brokeback Mountain
Oleh Abdul Rahim Sabri*
Ang Lee meneruskan kejayaan Crouching Tiger Hidden Dragon dengan memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa termasuk Pengarahan Terbaik untuk Anugerah Academy 2006 dan Filem Terbaik untuk Anugerah Glodan Globe 2006 sudah cukup meletakkannya sebaris dengan pengarah-pengarah terkenal di Hollywood.
Sebuah filem adaptasi dari cerpen Annie Proulx yang diterbitkan dalam majalah The New Yorker pada tahun 1997 (cerpen ini telah dibukukan setebal 30 muka surat). Skrip filem ini telah ditulis oleh oleh Larry McMurtry dan Diana Ossana juga turut memenangi anugerah Skrip Adaptasi Terbaik dalam Anugerah Academy tahun ini.
Kisah mengenai dua orang pemuda, menjadi pasangan gay secara tidak sengaja. Kisah bermula pada musim panas tahun 1963 apabila Ennis Del Mar dan Jack Twist bekerja sebagai pengembala kambing di pergunungan Brokeback (lokasi pengambaran di Alberta Kanada).
Ennis Del Mar lakonan Heath Ledger, pemuda berusia awal 20-an, berasal dari Signal, Wyoming dan dibesarkan oleh abang dan kakaknya setelah kematian ibubapanya akibat kecelakaan jalanraya. Dia seorang yang pendiam, misterius, dan sering dihantui rasa takut kerana sejarah hitam yang berlaku dalam hidupnya. Ini dapat dikesan melalui percakapannya yang sering mumbling dan perasaannya diluahkan melalui perkataan yang dilontarkan.
Rakan sejawatnya Jack Twist lakonan Jake Gyllenhaal, berasal dari Texas. Sebelum mereka bekerja bersama, dia adalah seorang rodeo amatur di Texas. Seorang yang periang, peramah dan banyak bercakap, optimis dengan masa depan.
Filem selama 134 minit ini begitu menarik untuk ditonton. Sesungguhnya sentuhan Ang Lee cukup unik. Dia berinteraksi dengan alam semula jadi. Gunung, kambing, angin gunung, lembu, beruang, sungai, tumbuhan dan pokok hijau merupakan aktor pembantu menghidupkan jalan ceritanya. Ia bermula dengan shot berlatarbelakangkan Gunung Brokeback- angin musim panas bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dan ratusan ekor kambing sedap meragut rumput dikawasan ragut yang luas menggambarkan suasana dan keadaan di situ. Ditambah pula sentuhan ajaib dan kreatif jurukamera, Rodrigo Prieto (Amores Perros, 21 Grams, Babel, The Three Burial of Mequiadas Estrada) begitu mengasyik.
Filem ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama; pertemuan Ennis-Jack di pejabat Joe Aguirre, majikan yang panas baran. Kedua; kehidupan pasangan yang membawa haluan setelah pertemuan singkat musim panas itu.
Kisah berlaku apabila kehidupan mereka di pergunungan menjadi bosan dan sunyi. Malam siang silih berganti, hanya kerana menjaga ratusan kambing meragut dan memburu coyote dan pemangsa lain yang berahikan kambing- kambing itu. Dan suatu malam mereka tidak memburu. Mereka berbual-bual tentang diri dan masa depan sambil meneguk wiskey. Lantas mereka kemabukan. Tiba-tiba, entah apa celakanya malam itu, angin lintang dari pergunungan, mereka kesejukan. Jack masuk ke dalam khemah dan membiarkan Ennis di luar.
Kemudian Jack tersedar kerana mendengar suara Ennis kesejukan, lalu mengajaknya tidur di dalam khemah. Mereka memanaskan badan, kemudian Jack memusingkan badan mencium Ennis, Ennis bertindakbalas, lalu mendatangi Jack dari belakang. Malam itu mereka bersama. Kejadian itu berlaku cukup pantas, tidak dirancang dan pastinya mereka tidak pernah memalukan perkara itu sebelum ini.
Keesokkan hari, dengan suara perlahan dan dengan nada tidak bersalah, Ennis mengaku bahawa dia bukan seorang gay, begitu juga Jack. Sejak dari kejadian itu, mereka cukup mesra, rapat dan jatuh cinta. Saling berkejaran dan bermesra di atas gunung. Tetapi kejadian itu diperhatikan oleh Joe dari atas. Dia memendekkan tempoh perkhidmatan mereka berdua, dengan alasan ayah Jack menyuruh dia pulang dan mereka tidak menjaga kambing-kambing itu dengan baik. Mereka berpisah dan pulang ke halaman masing masing bersama keresahan, cinta dan sejarah sewaktu di atas gunung.
Bahagian kedua filem, Ennis dan Jack membawa haluan masing-masing. Ennis berkahwin dengan wanita pilihannya, Alma dan dikurniakan dua orang puteri dan Jack berkahwin dengan Laureen, anak dikurniakan seorang anak lelaki. Selama empat tahun tidak berjumpa; Jack menghantar poskad kepada Ennis, bahawa ia akan datang ke Wyoming atas urusan kerja.
Ennis gembira dan berbaur resah. Perpisahan selama empat tahun disambut dengan ciuman ghairah dan rindu dari Ennis dan Jack membalas. Tanpa disedari, perbuatan mereka diperhati oleh Alma melalui daun pintu belakang rumahnya. Alma terkejut, bingung berbaur kecewa. Dan malam itu, mereka habiskan masa bersama dengan menyewa bilik di sebuah motel. Setiap kali berjumpa, mereka akan berbohong pada isteri masing-masing dengan alasan keluar memancing. Sedangkan bila pulang, tiada ikan yang dibawa. Alma semakin bingung dan syak yang bukan-bukan.
Sentuhan Ang Lee cukup menarik. Pertemuan mereka sekali atau dua kali setahun semakin menarik apabila shot-shot di ambil dari sudut yang berbeza dan lokasi yang berbeza bagi setiap kali pertemuan. Di tepi tebing sungai; airnya yang mengalir deras, tenang dan bersih, di dalam hutan, bersama-sama menunggang kuda, berkhemah, meredah anak sungai, berbual-bual tentang masalah-masalah yang dihadapi dan menghabiskan masa romantik mereka bersama-sama. Itulah yang ingin ditunjukkan oleh Ang Lee tentang keutuhan dan murninya cinta mereka.
Diiringi alunan musik gubahan dan susunan Gustavo Santaolalla (Amores Perros, 21 Grams, The Motocycle Diarist, North Country) cukup mengesankan penonton. Gustavo juga telah memenangi anugerah Golden Globe, bagi score musik terbaik tahun ini. Filem mesti tonton ini bukan seperti filem koboi yang lain. Ia bukan filem perang atau adegan tembak menembak, tapi filem melodrama, kisah romantik pasangan gay yang terpaksa mengharungi hidup selama 20 tahun tanpa disedari oleh sesiapapun.
Perceraian Ennis dan Alma menambah kesunyian dan keresahan Ennis. Kedua-dua anaknya dijaga oleh Alma dan mahkamah telah memutuskan agar dia menyara kedua-dua anaknya sehingga berumur 18 tahun. Jack mengajak Ennis tinggal bersama, tapi dia menolak kerana dihantui sejarah lama sewaktu masih kecil. Ayahnya membawa dan menunjukkan mayat seorang lelaki yang mati akibat dipukul oleh lelaki yang tinggal bersamanya. Ketakutan itu telah membentuk sikapnya sehingga besar.
Dalam hal ini, Ang Lee berjaya menimbulkan rasa kasihan dan simpati penonton kepada Ennis dengan mengimbas kembali sejarah Ennis sewaktu kecil sehingga dia menjadi seorang yang penakut dan pendiam. Babak ini diletakkan pada akhir-akhir cerita.
Cerita ini berakhir dengan kematian Jack dan Ennis kembali keseorangan. Hidup bersendirian di dalam cabin dalam keadaan tak terurus. Alunan musik, petikan gitar dan nyanyian dari Willie Nelson, “He was a friend of mine”, membuatkan kita berasa sedih, dan sayu dengan kisah mereka. Walaupun Jack sudah tiada, tapi cinta mereka tidak pernah pudar.
* Abdul Rahim Sabri, 26, penulis bebas. Terlibat di dalam kegiatan seni dan budaya sekitar Kuala Lumpur. Menulis cerpen, skrip drama pentas, artikel dan review filem. Sebarang komentar atau kritikan boleh diemelkan kepada: rahimbensabri@yahoo.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home