Kerana Berlian Merah
Oleh Abdul Rahim Sabri*
Skrip yang ditulis hasil ilham daripada kisah benar perang saudara yang meletus di Sierra Lionne. Konflik selama lapan tahun (1991-1999) tidak mampu ditayangkan dalam filem Blood Diamond (2006) menelan masa hampir dua jam tetapi garapan dan arahan Edward Zwick (Glory dan The Last Samurai), berjaya memaparkan penderitaan dan kenyataan apa yang sebenarnya yang berlaku di negara yang kaya dengan sumber berlian ini.
Danny Archer, lakonan Leonardo DiCaprio, seorang bekas tentera, berasal dari Afrika Selatan, telah lari dari kem dan menjadi pengedar berlian kepada Van de Kaap. Seorang yang pandai diplomasi dan tawar menawar harga berlian.
Ketegangan antara puak pemberontak – Rebels – yang cuba memeras ugut penduduk kampung Shenge - yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan - menjadi pekerja pelombong berlian. Mereka membunuh menyeksa dan merogol perempuan-perempuan yang mereka kehendaki. Lelaki yang sasa akan diambil sebagai pekerja dan kanak- kanak kecil belasan tahun diambil dan dilatih menjadi juak-juak mereka. Termasuklah seorang lelaki Solomon Vandy, lakonan Djimon Hounsou dan anak lelakinya.
Bagi penduduk Siera Lionne, terutama bagi Solomon, mendapat seketul kecil berlian, sudah mampu hidup senang apatah lagi sebesar ibu jari kaki. Solomon dipaksa bekerja sebagai pelombong. Dia berpisah dengan isteri dan anak-anaknya. Anak lelakinya, Dia Vandy (Kagiso Kuypers), telah diculik dan dilatih menjadi tentara bagi puak pemberontak. Dia dijadikan anak angkat kepada Kapten Poisan lakonan Davie Harewood.
Solomon ditempatkan di lombong berlian yang dikatakan bermutu tinggi. Dia menjumpai seketul berlian merah jambu. Lalu Solomon menyembunyi di celah ibu jari kaki kirinya. Tetapi perbuatannya disedari oleh Kapten Poison. Dia menyacu pistol di kepala Solomon dan cuba merampas berlian tersebut. Tetapi gagal kerana tidak semena-mena kawasan itu diserang tentera kerajaan. Solomon melarikan diri dan sempat menanam berlian. Kapten Poison, buta sebelah mata dalam serangan itu. Solomon, kapten Poison dan yang lain ditahan dan dipenjara.
Danny mengenali Solomon sewaktu berada dipenjara. Archer ditahan kerana cuba menyeludup berlian dan menjual di Liberia. Penyeludupan berlian menjadi perhatian pengarah kerana bukan sahaja melanggar hak asasi menusia tetapi juga ia telah digunakan oleh pihak pemberontak untuk menaja keganasan. Membeli senjata-senjata secara besar-besaran, dan merekrut kanak kanak menjadi pemberontak.
Filem mesti tonton ini, memaparkan pelbagai aksi dan kejadian tembak-menembak, terutama kejadian tembak menembak antara puak pemberontak dan askar kerajaan, di bandar Sierra Lionne. Susunan jalan cerita serta naratif yang menarik dapat disaksikan, terutama babak babak pertempuran.
Sehubungan itu, Danny bertemu dengan Maddy Rowen, wartawan cantik yang ingin membongkar kegiatan penyeludupan berlian. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Situasi menang-menang terjadi apabila, Danny menggunakan Maddy untuk menyelamatkan Solomon dan anak lelakinya, dan Danny berharap dapat memasuki kawasan berlian bermutu itu, jika menyamar menjadi wartawan. Sebagai balasan Danny akan menceritakan segala kepada Maddy tentang kegiatan penyeludupan berlian termasuk transaksi pembelian, tarikh, tempat dan akaun bank yang tertulis dalam buku kecil Danny.
Memasuki kawasan lombong berlian merah itu bukan satu yang mudah. Pelbagai cubaan dan halangan dari pihak Rebels. Mereka lolos dan akhirnya mereka berjumpa, Benjamin, seorang guru yang membuka sekolah untuk kanak-kanak. Baginya dengan pendidikan dapat memberi kesedaran tentang bahaya konflik dan menjamin masa depan mereka.
Dari situlah Maddy mula menyayangi Danny setelah dia menceritakan latar belakang dirinya. Perjalanan ke lombong itu, diteruskan dan telah menyemai bibit sayang Maddy kepada Danny. Van yang mereka naiki telah diserang, Benjamin cedera dan tetapi sekali lagi mereka lolos. Kali ini mereka menuju ke kem tentera, yang diketuai oleh bekas ketua Danny, lakonan Arnold Vosloo.
Danny tiada pilihan kecuali pergi mendapatkan berlian pink itu. Danny bersama Solomon, pergi menyelamatkan anaknya serta mengambil berlian yang ditanam itu. Di kem itulah, kali terakhir mereka berjumpa. Maddy menangis. Kemuncak cerita, adegan pertempuran tentera kerajaan dan RUF. Danny tercedera dan sempat menyelamatkan Dia serta Solomon. Solomon membunuh kapten Poison. Danny tercedera dan mati ketika menyelamatkan diri dari ditangkap pihak askar kerajaan.
Maddy menangis sekali lagi, bila dia dihubungi oleh Danny, agar menolong Solomon dan keluarganya mendapatkan kehidupan selesa dan sempurna di London. Di sana, Solomon mendapat penghormatan untuk menceritakan pengalaman yang ditempuhinya dan pemberontakan yang berlaku di negaranya. Maddy telah membongkarkan kegiatan penyeludupan berlian yang dilakukan oleh Van de Kaap. Syarikat ini bertanggungjawab menentukan harga berlian di pasaran dunia. Gambar dan artikel Maddy tersiar di dalam sebuah majalah berpusat di London termasuk gambar Danny yang diambil pada akhir pertemuan mereka.
Konflik ini menjadi isu antarabangsa. Bukan sahaja berlaku di Sierra Lionne, konflik berlian ini berlaku di Angola, Republik Demokratik Congo, Liberia, Ivory Coast dan negara-negara sekitarnya. Penyeludupan berlian ke Eropah juga berlaku dengan membawa ke negara jiran, dan dari sana ia akan dihantar ke Eropah. Terdapat 200 000 ribu askar kanak kanak di Sierra Lionne. Secara umumnya konflik Blood Dimaond ini telah mengakibatkan kematian melebihi 4 million penduduk terkorban di Angola, Sierra Lionne, Congo, Liberia dan Ivory Coast.
Konflik ini mendapat liputan hangat daripada badan badan dunia, PBB, UNICEF, Amnesty dan Global Witness. Global Witness telah mengeluarkan risalah khas mengenai Blood Diamond, di dalam laman webnya.
Perjanjian Kimberley telah ditandatangani antara kerajaan Sierra Lionne dan Revolutionary United Front (RUF) pada tahun 1999 untuk menghentikan pemberontakan tersebut dan Security Council, United Nations Mission in Sierra Lionne (UNAMSIL) pada Julai 2000 telah membuat ketatapan bahawa pengimpotan berlian daripada negara-negara yang dilanda konflik telah diharamkan kerana puak pemberontak menggunakkan wang hasil penjualan berlian untuk menaja keganasan dan ia sama sekali melanggar hak asasi manusia.
* Abdul Rahim Sabri, 26, penulis bebas. Berasal daripada Perlis. Menulis cerpen, rebiu filem dan drama pentas. Mengurus grup teater daripada Perlis, Republik Cinta dan ko-ordinator grup seni dan budaya, Kumpulan Seni Jalan Telawi (KsJT). Sebarang komentar atau kritikan boleh diemelkan kepada rahimbensabri@yahoo.com atau melawati blognya, http://www.guaqsanji.blogspot.com/.
1 Comments:
salam....jom join www.anakperlis.com
Post a Comment
<< Home