Saturday, March 19, 2011

'Trilogi Pembelaan' Ibn Rushd terhadap agama dan falsafah

Trilogi buku ini perlu ditelaah dan dihadam dengan kesedaran bahawa wacana dan perdebatan agama dan isu berkaitan akidah di kalangan rakyat Malaysia semakin sempit ekoran pelbagai tafsiran sepihak dan perdebatan yang tidak matang, emosional dan kaku.

Isu semasa yang melibatkan penggunaan kalimah Allah, isu kitab bible dan isu lain yang melibat atau menyentuh isu akidah dan debat agama boleh diselesaikan jika sikap dan semangat dapat diselesaikan dalam kitab ini.

Oleh itu, kewajaran kitab ini disemak sedikit sebanyak membuka ruang perdebatan itu, sekaligus mengurangkan ketakutan kita dalam membicarakan mengenai isu akidah dan debat agama sekiranya syarat, garis panduan dan semangat buku itu dapat dihayati.

Buku ini ditulis tokoh failasuf Ibn Rushd ketika berumur 54 tahun membela fasafah dan menolak insiden semacam pengkafiran dan pembataian terhadap golongan failasuf awal (Ulama al-Qudama') seperti Aristotle, Ibn Sina, Al-Farabi dan lain-lain.

Malangnya situasi itu menimbulkan rasa tidak senang di hati Ibn Rushd apatah lagi, hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan budaya serta pengamalan agama. Barang harus diingat, kurun ke-11 dan 12 di Andalusia dihuni oleh pelbagai kaum seperti bangsa Arab, Berber dan Moorish.

Malah kaum Yahudi dan Kristian turut berasimilasi dalam masyarakat kota itu. Jadi jangan hairan jika terdapat di kalangan tokoh Yahudi yang menterjemah dan menghurai karya Ibn Rushd. Dan jangan tidak percaya, tiada individu atau kumpulan Islam yang membuat tafsiran atau meneruskan karya failasuf besar ini kecuali dari kumpulan tokoh Yahudi dan Latin ketika itu.

Gejala pengkafiran begitu mencuat dalam masyarakat di Andalusia malah karya golongan Ahli Sunnah Wal Jaamah (ASWJ) memonopoli debat akidah dan kalam sehingga berlakunya pengkafiran terhadap failasuf yang tidak memihak atau bercanggah pandangan seolah-oleh mereka tidak layak hidup di atas muka bumi.

Buku ini juga dicadangkan supaya dibaca bersama dengan dua lagi kitabnya yang ditulis berturut-turut - yang mana saya disifatkan sebagai - mempunyai level atau tingkatnya yang tersendiri iaitu tahap asas, pertengahan dan perincian.

Fasl Maqal adalah kitab level satu menceritakan atau membebaskan ketakutan umat Islam untuk mengkaji kitab falsafah kuno seperti Yunani dalam peradaban dunia Islam. Ketakutan itu yang membelenggui diri agamawan dan pengkaji Islam sehingga ada yang mendakwa sumber tradisi bukan Islam adalah sumber yang tidak sah dan akan menyesatkan.

Daripada situ, kita dan mengenalpasti sikap membebaskan daripada ketakutan itu, disebabkan oleh pengaruh tafsiran sepihak dan membuatkan tafsiran yang bertentangan dengan kumpulan tertentu pasti akan di halang atau menerima ancaman tertentu.

Kashful Manahij, adalah kitab level kedua bagi mengenal mazhab yang ada pada waktu itu (sehingga kini) dan menyelesaikan masalah perbezaan dan perdebatan akidah dengan berteraskan kepada 'al-zhahir minal aqa'id allati qasada al-syar' hamala jumhur alaiha'.

Mengambil yang zahir ayat dan mengelakkan dari membuat tafsiran yang tidak dapat difahami oleh masyarakat bawahan. Tidak seperti tafsiran ASWJ di mana, pelbagai tafsiran yang dibuat sehingga gagal difahami dan kecapi dengan jelas oleh rakyat kebanyakkan.

Kitab Tahafut al-Tahafut adalah karya level ketiga yang secara khusus membetul dan mengkritik tafsiran Imam Al-Ghazali yang menyerang Ibn Sina sehingga beliau menjuarai tafsiran kalam dan mengkafirkan orang lain.

Hal itu ini kemudiaannya membenih sehingga menjadi rimbunan pohon yang rendang meneduhkan orang lain. Tetapi terleka bahawa wujud di sana pohon yang lebih teduh, rimbun dan lebih nyaman.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home