Saturday, December 31, 2011

Kekuatan plot dalam The Skin I Live In

Kekuatan plot dalam The Skin I Live In*
A. Sabri**

ULASAN FILEM Tiada apa yang baru yang ditonjolkan oleh Pedro Almodovar dari sudut tema dan genre, pada pandangan saya. Tetapi filem terbarunya 'The Skin I Live In', mempunyai keistimewaannya tersendiri iaitu kekuatan jalan cerita.

Berkonsepkan genre melodrama, thriller dan cinta yang mana naratif disulami subjek dan subteks antaranya gender, seksualiti, humor, identiti, noir dan kekerasan, menjadikan filem itu mempunyai kekuatan tersendiri.

Subjek dan subteks - yang saya sebutkan tadi - antaranya menjadi latar filemnya sejak tahun awal 1980-an, dan ia boleh diikuti dengan lebih terperinci dalam buku 'All About Almodovar' (2009) - himpunan esei tentang falsafah dan pemikirannya sepanjang lebih tiga dekad penglibatan beliau dalam dunia perfileman.

Dalam beberapa temubual dengan media antarabangsa, pengarah-penulis skrip kelahiran provinsi Castilla La-Mancha itu menolak tanggapan bahawa filemnya itu dianggap filem seram kerana tidak mahu mengecewakan penonton khususnya bagi peminat cerita seram.

"Saya cuba membawa minda kamu dengan mengingati imej yang menggerunkan. Saya tidak mahu (ianya) dipenuhi darah atau saat-saat menyeramkan, tetapi semua perkara perlu dibuat supaya menjadi seram, mungkin dengan cara yang tidak disedari penonton.

"Saya selalu menghadapi masalah untuk meletakkan genre pada filem saya sebab saya mencampur aduk sebahagiannya. Ini berlaku sejak saya mula bikin filem dahulu. Filem ini mempunyai elemen noir, tetapi tidak boleh dianggap filem noir.

"Filem ini menceritakan tentang seksual identiti, tentang kelangsungan hidup dan juga penyalahgunaankuasa," kata Almodovar Oktober lalu dalam temuramahnya dengan laman web Salon.com.

The Skin I Live In, mengisahkan saintis dan pakar pembedahan plastik, Dr Robert Ledgard (Antonio Banderas) berusaha mencipta kulit tiruan. Beliau membuka makmal dan bilik pembedahan rahsia di rumah 'mansion'nya - El Cagirral- yang terletak di pinggir kota Toledo. Latar masanya pada 2012.

Saya yakin dalam tempoh sejam pertama, penonton akan tertanya-tanya mengenai 'misteri' yang ingin disampaikan oleh Almodovar dalam filem itu ke-18 arahannya - yang diadaptasi dari novel 'Tarantula' karangan Thierry Jonquet. Ini kerana plot pada waktu itu, hanya menceritakan mengenai tugasan, eksperimen dan kajian Dr Robert dalam makmal yang penuh dengan peralatan terkini.

Bahkan status kewujudan Vera Cruz (Elena Anaya) yang dikurung di dalam satu bilik, sambil menyarung 'baju kulit' - yang dinamakan sebagai 'Gal' - yang tidak mudah terbakar, sedang melakukan senaman yoga, membaca buku seni karangan Louise Bourgeois dan membuat patung dari perca kain baju perempuan turut menimbulkan banyak persoalan. Siapa Vera? Mengapa dia dikurung? Mengapa dia memakai baju kulit? Mengapa, mengapa dan mengapa.

Kelibat dan tingkah laku Vera dapat dilihat melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam bilik kurungan itu dan tindak-tanduknya boleh dipantau dan diperhatikan oleh pembantu rumah, Marilia (Maria Paredes) dari dapur.

Naratif cerita semakin memuncak, apabila rahsia semua plot awal itu terbongkar sedikit demi sedikit melalui teknik 'flashback' dan penceritaan latar belakang kehidupan Dr Robert melalui dialog Marilia-Vera pada suatu malam.

Babak itu berlaku selepas Zeca (Robert Alamo) - anak kepada Marilia - menyedari kewujudan Vera dan dengan rakus dan ghairah merogol Vera. Marilia diikat. Sewaktu kejadian itu, Dr Robert tiada di rumah kerana ada tugasan luar.

Perwatakan Zeca yang ketagihan seks, bertindak rakus menyetubuhi Vera dengan ghairah. Di babak inilah, Almodovar menunjukkan kekreatifannya, apabila menyelit elemen humor dalam aksi dan dialog dalam babak itu.

Dr Robert pulang, dan menyedari insiden itu, Zeca mati di tembak dari arah belakang. Ketika Dr Robert mengkebumikan Zeca, Marilia membuka sejarah dan rahsia. Plot seterusnya menjawab persoalan demi persoalan yang timbul dibenak penonton.

Marilia memberitahu Vera mengapa Dr Robert begitu tekun menyiapkan pembuatan kulit palsu kerana tragedi kematian isterinya selepas cedera parah akibat kulit muka dan tubuh badannya terbakar akibat kemalangan jalan raya.

Isterinya membunuh diri terjun dari tingkap rumahnya kerana tidak sanggup melihat wajahnya hodohnya itu. Mayatnya jatuh betul-betul di hadapan anaknya Norma (Blanca Suarez) yang ketika itu masih kanak-kanak, sedang bernyanyi di laman rumah. Norma menjerit ketakutan.

Tragedi kedua, juga melalui flashback (mimpi) berlaku enam tahun sebelum itu (2006), apabila Norma - yang telah menjadi anak dara - telah dirogol oleh Vicente (Jon Cornet) dalam satu majlis keraian yang turut dihadiri Dr Robert.

Dua tragedi inilah yang menghantui Dr Robert - akhirnya beliau 'menculik' pemuda itu lalu di bawa ke rumahnya untuk 'operasi' membalas dendam.

Selepas berjaya membuktikan kajian dan eksperimen kulitnya, Dr Robert menjadi Vicente sebagai bahan ujikajinya. Beliau mengenakan kulit tersebut kepada Vicente. Sebelum itu, sebagai permulaan balasan, Dr Robert menukar jantina Vicente menjadi Vera.

Misteri identiti Vera akhirnya terdedah bermula plot dia ditahan sehingga kulit tiruan itu berjaya dipakaikan kepadanya.

"Perwatakan Antonio Banderas sebagai Dr Robert Ledgard sebagai lelaki yang dilihat 'mental', pada permulaannya, kerana provokasi untuk melakukan keganasan dan tanpa belas kasihan.

"Karektornya sebagai pakar bedah dan saintis disifatkan sebagai tidak bermoral, tidak berasa bimbang dengan tindakan yang dilakukan, akibat tragedi yang menimpa keluarganya. Akhirnya, wataknya dilihat lebih lembut melalui cintanya kepada Vera," kata Pedro sebagai reaksi awal selepas filem ini ditayangkan.

Walaupun bertahun dikurung di rumah besar dan bentuk fizikalnya menjadi perempuan, tetapi hati dan perasaannya menjadi masih seorang lelaki - memberontak dan selalu memikirkan untuk melepaskan diri dari cengkaman Dr Robert Ledgard.

Sewaktu menuju ke kemuncak cerita, banyak plot twist digunakan oleh Almodovar bagi menimbulkan rasa keseronokan dan keasyikan penonton untuk mengetahui pengakhiran filem tersebut.

Di satu sudut yang lain, Almodovar menunjukkan 'pembelaan dan mengagungkan' terhadap wanita - antaranya dalam All About My Mother (1999) dan Volver (2006) - dan mengubahsuai subjek yang diminatinya - trangender dan transeksualiti seperti mana yang diminatinya sejak mula berkecimpung dalam dunia perfileman. Kali ini dalam bentuk baru, di mana ditonjolkan dengan lebih agresif, berani dan jujur.

Naratif belum berakhir di situ, apabila Fulguencio (Edward Hernandez) - yang turut sama dalam pembedahan jantina Vicente - membantah tindakan Dr Robert yang didakwanya 'menculik' pemuda itu sebagai bahan ujikaji, sambil menunjukkan keratan akhbar tentang gambar mangsa culik yang gagal ditemui.

Bahkan Fulgencio bimbang ia memberi masalah kepada rakannya sekiranya Vera bertindak melarikan diri dan mendedahkan dirinya yang sebenar. Dr Robert marah dengan kenyataan rakannya itu.

Perbualan dalam bilik peribadi Dr Robert didengari Vera, lantas menafikan dia akan melarikan diri. Sebaliknya setia dan menyintai Robert. Dengan keadaan terpinga-pinga dan terkejut, Fulgencio beredar dan bermulalah babak akhir bagaimana Vera meneruskan plot untuk melarikan diri.

Vera sebenarnya berpura-pura mencinta Dr Robert lalui mahu berasmara dengannya. Kemudian, dia menembak Dr Robert termasuk Marilia yang masuk ke kamar selepas mendengar bunyi tembakan. Vera melarikan diri, terus pulang ke butik ibunya.

Di butik, Vera memperkenalkan dirinya sebagai Vicente tetapi dengan wajah dan fizikal yang berbeza. Ibu 'Vicente' (Susi Sanchez) dan Christia (Barbara Lennie) - pembantu ibunya, terkejut berbaur gembira Vicente pulang walaupun rupanya berbeza. Happy Ending!

Mengikuti perkembangan filem-filemnya, pada pandangan saya, dalam filem kali ini, tanpa disedari, Almodovar kurang menggunakan warna merah, berbanding filem-filemnya sebelum ini, walaupun saya mengakui kehebatan beliau mewujudkan misé en scene bagi setiap babak.

Dalam filem ini, saya lihat Almodovar banyak menggunakan warna kuning sesuai dengan set penggambaran yang 'gothik' dan 'Oriental' kerana banyak menggunakan potrait wanita telanjang yang digantung di setiap sudut rumah dan bilik.

Berdasarkan kekuatan plot, arahan yang mantap, sinematografi dan tone warna yang cantik, susunan score musik dari Alberto Iglesias dan suntingan terbaik, berkemungkinan filem ini akan memenangi filem asing terbaik untuk anugerah Golden Globe tahun depan.

The Skin I Live In akan berentap dengan empat lagi filem daripada pengarah filem yang hebat. Filem itu ialah Best foreign film The Flowers of War (Zhang Yimou), In The Land of Blood and Honey (Angelina Jolie), The Kid with a Bike (The Dardenne Brothers) dan A Separation (Asghar Farhadi).


Rujukan:

1) Laman web filem 'The Skin I Live In' di http://www.lapielquehabito.com
2) Laman web Salon.com. Temuramah dengan Pedro Almodovar di http://www.salon.com/2011/10/13/almodovar_builds_a_new_frankenstein/
3) Koleksi esei tentang pengarah filem dalam buku 'All About Almodovar'
4) Buku 'Writing Short Film' dan 'The Art of Plotting' karangan Linda J Cowgill.


* Filem ini dicalonkan dalam anugerah Golden Globe 2012 untuk kategori Filem Asing Terbaik

** A Sabri adalah seorang wartawan yang meminati filem Sepanyol, Perancis dan Jerman. Meminati Pedro Almodovar sejak menonton filem 'Hable Con Ella' (Talk To Her) dan membuat koleksi filem-filem arahannya.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home