Wednesday, January 31, 2007

Jangan Bergerak!

Don’t Move*

Oleh Abdul Rahim Sabri**

Filem dua jam ini cukup menarik. Filem yang memenangi beberapa anugerah dalam Festival Filem Italia 2004 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Filem ini juga dicalonkan untuk anugerah Un Certain Regard dalam Filem Festival Cannes.


FILEM:
Don’t Move – Non Ti Muovere (Italia), Ecoute Moi (Perancis). Filem ini adalah adaptasi daripada novel Margaret Mazzantini.


PENGARAHAN:

Filem arahan Sergio Castellitto merangkap teraju utama filem ini.


LAKONAN DAN PERWATAKAN:

Penelop Cruz – Italia - sebagai pekerja sambilan hotel, comot, unfashionable, tak pandai bergaya dan tidak pandai bersolek tetapi penyayang

Segio Castellitto – Timoteo - doktor pembedahan yang berjaya; smart – berjambang dan tak terurus.

Claudia Gerini – Elsa- Selalu mementingkan penampilan dan gaya yang terkini, serta fesyen, cantik dan muda, kulit kuning langsat, gigi yang tersusun, bibir yang berahi, tetapi selfish!


SINEMATOGRAFI +TEKNIK PENGGAMBARAN:


Kebanyakan shoot dan close up ke muka para pelakon, untuk menceritakan tentang perasaan, mood, subteks dan memek muka para pelakon. Sedih, gembira, marah, kecewa, terperanjat, kesunyian dan takut Keseluruhan shoot di ambil dari atas kepada hingga ke paras bahu atau close up terus ke muka para pelakon. Pergerakan kamera dari depan dan ke belakang.

Berlatarbelakangkan kawasan pergunungan dan pantai di Itali, ketika itu hujan lebat di luar, tiba-tiba muncul seorang wanita berambut pendek mengheret kerusi ke tengah persimpangan lorong menuju ke wad pembedahan – kemudian dia duduk di atas kerusi, membelakangi kamera dan terpaku di situ di dalam hujan (minit ke 8).

Dalam keadaan hujan yang lebat, Timoteo terkenang akan nasib anaknya, ditambah pula dengan hadirnya Italia di hadapan mata, membuatkan dia terkenang akan kejadian yang berlaku pada musim panas 15 tahun dahulu (flashback), pertemuan yang tidak disengajakan antara Timoteo dan Italia.

Teknik flashback di selang seli dengan set penggambaran di hospital tentang kedudukan tekini anaknya yang dilaporkan oleh Ada, jururawat yang bertugas. Ketika ini kamera close up pada wajah pelakon, dan di situ perasaan dan mood jelas kelihatan. Sedih, menangis serta kasihan tarpampang diwajah para pelakon.



REVIEW:

Kahwin dengan doktor ni best! Orang kata kahwin doktor ni, dapat anak pandai. Sebab doktor orang pandai. Orang kampung, kalau dengar berita anak si pulan mengaji bidang kedoktoran, dia akan kata, “Bertuahlah cik Bedah ada anak mengaji doktor. Anak cik Bedah pandai-pandai belaka. Nanti hidup senang” Opss... Don’t Move, jangan bergerak, anda tersalah! Filem ini harus ditonton untuk membuktikan kata-kata itu, dusta, nista dan tidak berasas!

Kisah seorang doktor pakar bedah, Timoteo, yang berjaya dan berharta, telah menemui Italia di sebuah kedai makan. Timoteo, keretanya mengalami kerosakan dan berhenti untuk mendapatkan bantuan mekanik di sebuah kedai makan tersebut. Italia –bagai malaikat dari syurga- sudi menolongnya. Dia membantu Timoteo mendapatkan mekanik.

Italia juga mempelawa Timoteo untuk menggunakan telefonnya di rumahnya. Rumahnya, banglo buruk dua tingkat terletak di tengah-tengah kawasan bangunan yang ditinggalkan. Rumah itu adalah tinggalan datuknya. Seusai menelefon, Timoteo kembali ke kedai makan dan meneguk dua gelas vodka, (sudah cukup untuk memeningkan kepala) untuk menghilangkan kepanasan, sambil menunggu mekanik tiba.

Mekanik tiba. Kereta ditarik ke workshop. Fikirannya juga ditarik agar kembali ke rumah Italia. Di Rumah Italia, nafsu memuncak, lalu merogolnya dalam keadaan mabuk (Ho Violentato Una Donna).

Italia, dia bukan pelacur kelas atasan. Dia bukan kahab kelas bawahan dan dia bukan sampah masyarakat. Dia bidadari. Dia malaikat dari syurga. Dia godot dari kayangan. Penuh kasih sayang dan memahami jiwa manusia. Seorang yang belas dan suka menolong. Dan dia seorang yang pasrah pada takdir.

Pertemuan yang tak dirancang dan tak disengajakan. Masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Timoteo merogol Italia, dan Italia merelakannya. Italia tidak menyalahkan perbuatan Timoteo. Kerana Italia pernah mengalami nasib yang sama, ketika remaja, bila mana dia dirogol oleh ayahnya di dalam fitting room sewaktu menukar pakaian. Dia didatangi dari belakang: Begitu juga dengan Timoteo. Ya, Doggy!

Kali pertama; dia meninggalkan Italia tanpa memohon maaf. Keesokkannya dia kembali, memohon maaf dan dia merogol sekali lagi, Italia rela dan kali ini dia dibayar. Sedangkan tiada tawar menawar harga sebelumnya. Italia menyimpan duit itu. Duit itu dimasukkan ke dalam balang dan diletakkan di atas peti ais. Dia tidak menggunakannya. Kerana dia tahu, dia bukan pelacur.

Selepas bersetubuh dengan Italia beberapa kali, mereka akhirnya jatuh cinta dan Timoteo bersumpah agar tidak meninggalkan Italia. Oleh kerana itu, Italia melayani Timoteo seperti Timoteo. Timoteo gembira. Italia melayaninya seperti seorang isteri yang tidak pernah diberikan oleh isterinya, Elsa.

Suatu hari, Timoteo pulang dengan keadaan tergesa-gesa dan berjumpa Elsa. Lagaknya seperti tidak berlaku apa-apa (Elsa tidak mengetahui hubungan suaminya dengan Italia sehingga tamat filem). Dia pulang, dan memberi tahu Elsa bahawa dia mahukan anak, sebaliknya jawapan tidak diberikan. Dan pada masa yang sama, dia harus membayar kain pîlihan Elsa di supermarket. Timoteo kecewa. Jelas; wang tidak dapat memberi kebahagiaan dan merawat kekosongan dan kesunyian dalam jiwa Timoteo.

Perkahwinan yang bahagia pada zahirnya, tapi tidak dianugerahkan cahaya mata, kerana ketakutan Elsa untuk mengandung. Elsa mengetahui hasrat Timoteo tapi dia melarikan diri, sibuk dengan kerja outstation dan hampir tidak pernah ada dirumah, sewaktu suami memerlukan belaiannya. Si isteri hanya mementingkan karier (walaupun mereka tidak pernah bergaduh), selalu sahaja ke luar negara, London, Berlin dan Spain. Dan dia mengabaikan perhatian dan perasaan si suami.

Suatu hari, Elsa menyedari kesunyian Timoteo. Tergerak hati Elsa untuk bersama-sama dengan suaminya. Timoteo doggy sekali lagi. Ya, lekat. Elsa mengandung (sono incinta - aku mengandung). Sewaktu mengetahui bahawa isterinya mengandung, perasaannya serba salah, kerana Italia juga mengandung hasil hubungan mereka.

Hubungan mereka semakin renggang. Ada suatu yang tidak kena. Italia merasakan dia dipermainkan dan Timoteo melanggar sumpahnya, lalu Italia mendapatkan kepastian akan kedudukan yang sebenarnya. Jelas bagi Italia, Timoteo memilih isterinya! Lalu dia menggugurkan kandungannya. Italia rela menggugurkan kandungannya kerana dia tahu dia bukan ibu yang terbaik untuk anaknya nanti. Lalu dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Itali.

Perkataan Don’t Move diucap sebanyak 3 kali oleh Timoteo; pertama, sewaktu anaknya di wad bedah, jantungnya sudah tidak bergerak dan Timoteo menekan dada anaknya dengan tangannya sendiri sambil berkata, Non ti Muovere (Don’t Move, Ecoute Moi) berdoa agar anaknya tidak mati. Kedua, ketika Timoteo merayu kepada Ada, pembantu jururawat, agar tidak menceritakan tentang keadaan anaknya dan tetap pada daun pintu kerana Timoteo ingin menceritakan tentang ketakutannya kepada darah sewaktu menjadi pelajar perubatan dan ketiga, ketika dia merayu kepada Italia agar tidak berpindah ke Kanada.

Filem ini happy ending. Hujan berhenti. Kehadiran Italia di tengah-tengah lorong adalah khayalan Timoteo. Hanya sebuah ilusi. Italia mati akibat komplikasi dan pendarahan di dalam perut akibat menggugurkan kandungannya tanpa merujuk kepada Timoteo. Dia sayang Timoteo, dan Timoteo cintakan Italia tetapi tak mampu melawan kuasa takdir. Dia mati. Dia mati sambil tersenyum dan mata terbuka. Dia nampak syurga. Di wad juga ada berita gembira, anaknya hidup, selamat dan stabil. Elsa datang, tapi masih membebel kepada anaknya. Timoteo keluar dari wad bersama sebuah beg plastik. Dia berjalan ke tengah lorong – tempat Italia mendekam- sambil mengeluar dan mencium kasut tumit tinggi –sebelah kanan- milik Italia lalu diletakkan di situ, Italia – Don’t Move – tetap kau di sini!


SCORE MUSIK:

Musik latar yang cukup bertenaga, dan puitis. Menyeri dan menaikkan semangat untuk terus terpaku dan tidak berganjak dari tempat duduk. Un Senso, lagu tema filem ini bermakna sebuah perasaan yang tidak boleh yang disembunyikan. Pertukaran babak dan diselang seli dengan lagu-lagu yang membuai emosi membuatkan anda mengalirkan air mata.


LATAR:

Musim panas dan musim hujan (pertukaran musim) di Itali

TEMPAT:

Hospital, kawasan bangunan yang tidak siap, banglo tepi laut


* Rebiu ini telah tersiar dalam laman web Merpati Jingga, www.merpati-jingga.com bertarikh 20 September 2006 dan laman web Persatuan Mahasiswa Malaysia Morocco bertarikh 27 September 2006.

* * Abdul Rahim Sabri, 26, penulis bebas. Berasal daripada Perlis. Menulis cerpen, rebiu filem dan drama pentas. Mengurus grup teater daripada Perlis, Republik Cinta. Koordinator grup seni dan budaya, Kumpulan Seni Jalan Telawi (KsJT). Sebarang komentar atau kritikan boleh diemelkan kepada rahimbensabri@yahoo.com atau melawati blognya, www.guaqsanji.blogspot.com.

Kebahagiaan kunci menara Babel

Rebiu filem Babel
Arahan Alejendro Gonzalez Inaritu


Oleh Abdul Rahim Sabri*


[The Towel of Babel, this narrative revisits the theme of preservation of the divine-human boundary. The treate to that boundary, self-reflective speech by the LORD, and act of divine prevention all paralellel. With the human family completes the eastward movement begun. Yet this story will focus on a scettering of the human family into different ethnic, linguistic, and territorial groups. As such, it now gives background for the table of nations, although it was not originally written with in that in view. – Hebrew Bible, Oxford University Press (2001), muka surat 25 ]



Ini adalah koloborasi yang ketiga, Inaritu – Arriaga – Santaollalla – Prieto dalam filem terbaru mereka, Babel. Filem yang diadaptasi daripada Genesis 11 ayat 1 hingga 9 telah memenangi anugerah pengarahan terbaik di Festival Filem Cannes pada tahun lepas dan terbaru telah memenangi Filem Terbaik (kategori drama) dalam anugerah Golden Globe yang berlangsung pada 16 Januari yang lepas.

Kejayaan merangkul beberapa anugerah berprestij termasuk tayangan pembukaan di Filem Festival Antarabangsa San Sebastian di Sepanyol telah meletakkan Inaritu sebagai pengarah muda pada kelasnya yang tersendiri. Pengarah kelahiran Mexico, yang kini menetap di Amerika Syarikat, telah berjaya menyambung trilogi filemnya selepas Amores Perros dan 21 Grams. Babel adalah trologi dan filem yang terakhir yang menggunakan teknik Faulknerian dan metod Stephen King, hasil tulisan Arriaga.

Arriaga, seorang penulis novel dan skrip filem berasal daripada Mexico, turut memenangi skrip terbaik bagi filem The Three Burials of Melquiades Estrada, pada Festival Filem Cannes 2005. Dalam filem itu beliau telah bergandingan dengan Tommy Lee Jones yang turut memenangi pelakon lelaki terbaik, dalam anugerah yang sama.

Santaollalla, komposer dan pengubah musik, berasal daripada Argentina, telah memenangi skor musik terbaik dalam anugerah Golden Globe 2006 untuk filem Brokeback Mountain arahan Ang Lee. Beliau juga telah menyumbang beberapa buah lagu termasuk menjadi komposer untuk filem North Country (lakonan Charlez Theron), The Motocycle Diarist (lakonan Gael Garcia Bernal) dan telah menyumbang lagu ‘Iguazu’ dalam filem The Inside, arahan Micheal Mann, lakonan Russell Crowe dan Al Pacino.

Jurukamera yang prolifik dan kreatif, Rodrigo Prieto, telah berjaya memenangi anugerah-anugerah jurukamera terbaik dalam beberapa anugerah di peringkat antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa San Sebastian untuk filem Un Embrujo, arahan Carlos Carrera, Festival Filem Cartagena dan Diosa de Plata, untuk filem Sobrenatural, arahan Daniel Gruener. Beliau juga telah berjaya merangkul anugerah yang sama dalam anugerah Golden Globe pada tahun lepas.

‘Babel’ mengisahkan empat cerita daripada empat negara iaitu Moroko, Carlifornia, Mexico dan Jepun. Kisah pertama, dari Moroko, mengenai Abdullah (Musthapa Rachidi), seorang pengembala kambing telah membeli selaras senapang daripada kawannya, Hassan Ibrahim, untuk menembak musang yang memakan kambing peliharaannya. Senapang itu -- pemberian Yasujiro (Koji Yakusho) kepada Hassan -- diserahkan kepada anaknya untuk menjaga kambing-kambing tersebut.

Ahmad (Said Tarchani) dan Yusouf (Boubker Ait El Caid), menjadikan senapang itu sebagai barang mainan. Suatu hari mereka cuba menguji senapang tersebut. Mereka tidak mempercayai tembakan rifle .270 caliber itu, dapat mencecah jarak sejauh 3 kilometer. Percubaan menembak ke arah kereta dari atas gunung, tidak menunjukkan apa-apa kesan. Percubaan kali kedua dengan menembak ke arah bas pelancong. Bas berhenti. Sasaran mengena. Kini mereka percaya ‘aura’ rifle ini. Mereka melarikan diri. Di sinilah titik permulaan kisah ‘Babel’.

Naratif dan plot Arriaga – seperti yang saya jangka dari awal – menyamai filem-filem beliau sebelum ini. Seperti teka silang kata. Penonton harus menyusun babak-babak tersebut menjadi sebuah cerita lengkap. Setiap kisah mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain.

Kisah kedua, Amelia (Adriana Barazza), berasal dari San Diego, Mexico. Amelia mahu pulang ke kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya. Dia memujuk Lucia untuk menjaga anak tersebut, tetapi Lucia enggan. Lalu Amelia menyambil keputusan unuk membawa anak asuhannya pulang bersamanya. Dia menelefon Santiago (Gael Garcia Bernal). Dan mereka terus menuju ke Mexico.

Kisah ketiga, rombongan pelancong dari Amerika, Perancis dan Britain menuju ke selatan Moroko, untuk bercuti dan melancong. Richard (Bratt Pitt) dan Susan, datang ke Moroko untuk membaiki hubungan mereka yang retak menanti belah. Percutian mereka bertukar menjadi tragedi, apabila bas yang mereka naiki ditembak, kononnya pengganas. Tembakan itu terkena leher Susan (Cate Blanchett). Tragedi ini menjadi telah dimanipulasi menjadi isu antarabangsa dan tersiar dalam warta berita bagi setiap stesen television di negara-negara tadi.

Kisah keempat, mengenai seorang gadis Jepun yang bisu dan pekak, Chieko (Rinko Kikuchi). Dia kesunyian dan dirundung rasa kesedihan apabila ibunya membunuh diri. Dia juga diperleceh dan diperli oleh teman sebayanya kerana keadaanya. Dia mahu dibelai dan dimanja tetapi ayahnya (Yasujiro) terlalu sibuk dengan bisnes lalu dia mencari hiburan di luar. Tetapi hiburan tidak dapat mengubat kesunyian dan kesedihan. Dia hanya berkomunikasi dengan bahasa isyarat dan memahami pergerakan mulut orang.

Kisah yang dipaparkan memperlihat bagaimana komunikasi berlaku dan bagaimana perasaan dapat diluahkan melalui bahasa. Inaritu cuba memaparkan bagaimana interaksi berlaku apabila berlainan etnik, bahasa dan budaya dengan masalah-masalah diselitkan bagi setiap babak.

Filem yang menggunakan enam bahasa, Bahasa Inggeris, Arab (Darijah Moroko), Jepun, Sepanyol, Perancis dan bahasa isyarat ini, lebih menarik apabila jurukamera menggunakan teknik close up pada wajah para pelakon untuk menggambarkan perasaan dan emosi mereka. Oleh yang demikian, setiap babak dan kisah mempunyai kekuatan yang tersendiri dan hidup. Menyebabkan para pelakon mahu mengetahui apa yang berlaku seterusnya.

Babak-babak yang tersusun dan berstruktur memang sudah dirancang dari awal. Dan proses editing juga turut berperanan menjadikan filem ini bertaraf lima bintang. Peralihan struktur babak dari satu kisah kepada satu kisah dan kemudian kembali kepada sambungan kisah pertama dan berikutnya, bukanlah bertujuan untuk memeningkan kepala penonton tetapi mahu memperlihatkan bagaimana bahasa, politik dan kefahaman disalahertikan. Perbezaan budaya dan tempat menjadikan manusia menjadi cemas, takut, dan bergantung kepada manusia lain untuk hidup.

Abdullah dan dua orang anaknya cuba melarikan diri daripada polis setelah mendapati mereka diburu. Mereka dikatakan menjadi pengganas. Santiago dan Amelia melarikan diri daripada sekatan polis Amerika di sempadan setelah mendapati mereka tidak mempunyai kaitan dengan anak asuhannya. Richard cuba bertungkus lumus menyelamatkan isterinya daripada cedera. Dan akhirnya hubungan mereka kembali terjalin. Chieko hanya boleh meluahkan perasaan sedih, kecewa dan kekosongan jiwanya hanya di atas kertas dan diserahkan kepada seorang polis bernama Mamiya.

Semuanya tentang harapan, impian dan cara berinteraksi untuk terus hidup. Kebahagiaan tidak mengira batasan negara, bahasa atau budaya. Hanya dengan kebahagiaan manusia hidup di atas bumi. Melanggar arahan mengundang kemarahan Tuhan seperti kaum Babylon yang cuba membina menara dengan harapan dapat berjumpa Tuhan. Lalu Tuhan memisahkan mereka dengan pelbagai budaya, tempat dan bahasa.


* Abdul Rahim Sabri, 26, penulis bebas. Berasal daripada Perlis. Menulis cerpen, rebiu filem dan skrip drama pentas. Mengurus grup teater daripada Perlis, Republik Cinta dan ko-ordinator grup seni dan budaya, Kumpulan Seni Jalan Telawi (KsJT). Sebarang komentar atau kritikan boleh diemelkan kepada rahimbensabri@yahoo.com atau melawati blognya, www.guaqsanji.blogspot.com.

Kerana Berlian Merah

Oleh Abdul Rahim Sabri*


Skrip yang ditulis hasil ilham daripada kisah benar perang saudara yang meletus di Sierra Lionne. Konflik selama lapan tahun (1991-1999) tidak mampu ditayangkan dalam filem Blood Diamond (2006) menelan masa hampir dua jam tetapi garapan dan arahan Edward Zwick (Glory dan The Last Samurai), berjaya memaparkan penderitaan dan kenyataan apa yang sebenarnya yang berlaku di negara yang kaya dengan sumber berlian ini.

Danny Archer, lakonan Leonardo DiCaprio, seorang bekas tentera, berasal dari Afrika Selatan, telah lari dari kem dan menjadi pengedar berlian kepada Van de Kaap. Seorang yang pandai diplomasi dan tawar menawar harga berlian.

Ketegangan antara puak pemberontak – Rebels – yang cuba memeras ugut penduduk kampung Shenge - yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan - menjadi pekerja pelombong berlian. Mereka membunuh menyeksa dan merogol perempuan-perempuan yang mereka kehendaki. Lelaki yang sasa akan diambil sebagai pekerja dan kanak- kanak kecil belasan tahun diambil dan dilatih menjadi juak-juak mereka. Termasuklah seorang lelaki Solomon Vandy, lakonan Djimon Hounsou dan anak lelakinya.

Bagi penduduk Siera Lionne, terutama bagi Solomon, mendapat seketul kecil berlian, sudah mampu hidup senang apatah lagi sebesar ibu jari kaki. Solomon dipaksa bekerja sebagai pelombong. Dia berpisah dengan isteri dan anak-anaknya. Anak lelakinya, Dia Vandy (Kagiso Kuypers), telah diculik dan dilatih menjadi tentara bagi puak pemberontak. Dia dijadikan anak angkat kepada Kapten Poisan lakonan Davie Harewood.

Solomon ditempatkan di lombong berlian yang dikatakan bermutu tinggi. Dia menjumpai seketul berlian merah jambu. Lalu Solomon menyembunyi di celah ibu jari kaki kirinya. Tetapi perbuatannya disedari oleh Kapten Poison. Dia menyacu pistol di kepala Solomon dan cuba merampas berlian tersebut. Tetapi gagal kerana tidak semena-mena kawasan itu diserang tentera kerajaan. Solomon melarikan diri dan sempat menanam berlian. Kapten Poison, buta sebelah mata dalam serangan itu. Solomon, kapten Poison dan yang lain ditahan dan dipenjara.

Danny mengenali Solomon sewaktu berada dipenjara. Archer ditahan kerana cuba menyeludup berlian dan menjual di Liberia. Penyeludupan berlian menjadi perhatian pengarah kerana bukan sahaja melanggar hak asasi menusia tetapi juga ia telah digunakan oleh pihak pemberontak untuk menaja keganasan. Membeli senjata-senjata secara besar-besaran, dan merekrut kanak kanak menjadi pemberontak.

Filem mesti tonton ini, memaparkan pelbagai aksi dan kejadian tembak-menembak, terutama kejadian tembak menembak antara puak pemberontak dan askar kerajaan, di bandar Sierra Lionne. Susunan jalan cerita serta naratif yang menarik dapat disaksikan, terutama babak babak pertempuran.

Sehubungan itu, Danny bertemu dengan Maddy Rowen, wartawan cantik yang ingin membongkar kegiatan penyeludupan berlian. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Situasi menang-menang terjadi apabila, Danny menggunakan Maddy untuk menyelamatkan Solomon dan anak lelakinya, dan Danny berharap dapat memasuki kawasan berlian bermutu itu, jika menyamar menjadi wartawan. Sebagai balasan Danny akan menceritakan segala kepada Maddy tentang kegiatan penyeludupan berlian termasuk transaksi pembelian, tarikh, tempat dan akaun bank yang tertulis dalam buku kecil Danny.

Memasuki kawasan lombong berlian merah itu bukan satu yang mudah. Pelbagai cubaan dan halangan dari pihak Rebels. Mereka lolos dan akhirnya mereka berjumpa, Benjamin, seorang guru yang membuka sekolah untuk kanak-kanak. Baginya dengan pendidikan dapat memberi kesedaran tentang bahaya konflik dan menjamin masa depan mereka.

Dari situlah Maddy mula menyayangi Danny setelah dia menceritakan latar belakang dirinya. Perjalanan ke lombong itu, diteruskan dan telah menyemai bibit sayang Maddy kepada Danny. Van yang mereka naiki telah diserang, Benjamin cedera dan tetapi sekali lagi mereka lolos. Kali ini mereka menuju ke kem tentera, yang diketuai oleh bekas ketua Danny, lakonan Arnold Vosloo.

Danny tiada pilihan kecuali pergi mendapatkan berlian pink itu. Danny bersama Solomon, pergi menyelamatkan anaknya serta mengambil berlian yang ditanam itu. Di kem itulah, kali terakhir mereka berjumpa. Maddy menangis. Kemuncak cerita, adegan pertempuran tentera kerajaan dan RUF. Danny tercedera dan sempat menyelamatkan Dia serta Solomon. Solomon membunuh kapten Poison. Danny tercedera dan mati ketika menyelamatkan diri dari ditangkap pihak askar kerajaan.

Maddy menangis sekali lagi, bila dia dihubungi oleh Danny, agar menolong Solomon dan keluarganya mendapatkan kehidupan selesa dan sempurna di London. Di sana, Solomon mendapat penghormatan untuk menceritakan pengalaman yang ditempuhinya dan pemberontakan yang berlaku di negaranya. Maddy telah membongkarkan kegiatan penyeludupan berlian yang dilakukan oleh Van de Kaap. Syarikat ini bertanggungjawab menentukan harga berlian di pasaran dunia. Gambar dan artikel Maddy tersiar di dalam sebuah majalah berpusat di London termasuk gambar Danny yang diambil pada akhir pertemuan mereka.

Konflik ini menjadi isu antarabangsa. Bukan sahaja berlaku di Sierra Lionne, konflik berlian ini berlaku di Angola, Republik Demokratik Congo, Liberia, Ivory Coast dan negara-negara sekitarnya. Penyeludupan berlian ke Eropah juga berlaku dengan membawa ke negara jiran, dan dari sana ia akan dihantar ke Eropah. Terdapat 200 000 ribu askar kanak kanak di Sierra Lionne. Secara umumnya konflik Blood Dimaond ini telah mengakibatkan kematian melebihi 4 million penduduk terkorban di Angola, Sierra Lionne, Congo, Liberia dan Ivory Coast.

Konflik ini mendapat liputan hangat daripada badan badan dunia, PBB, UNICEF, Amnesty dan Global Witness. Global Witness telah mengeluarkan risalah khas mengenai Blood Diamond, di dalam laman webnya.

Perjanjian Kimberley telah ditandatangani antara kerajaan Sierra Lionne dan Revolutionary United Front (RUF) pada tahun 1999 untuk menghentikan pemberontakan tersebut dan Security Council, United Nations Mission in Sierra Lionne (UNAMSIL) pada Julai 2000 telah membuat ketatapan bahawa pengimpotan berlian daripada negara-negara yang dilanda konflik telah diharamkan kerana puak pemberontak menggunakkan wang hasil penjualan berlian untuk menaja keganasan dan ia sama sekali melanggar hak asasi manusia.




* Abdul Rahim Sabri, 26, penulis bebas. Berasal daripada Perlis. Menulis cerpen, rebiu filem dan drama pentas. Mengurus grup teater daripada Perlis, Republik Cinta dan ko-ordinator grup seni dan budaya, Kumpulan Seni Jalan Telawi (KsJT). Sebarang komentar atau kritikan boleh diemelkan kepada rahimbensabri@yahoo.com atau melawati blognya, http://www.guaqsanji.blogspot.com/.

Sial kau, anjing!

Review filem Amores Perros
arahan Alejendro Gonzalez Inaritu

Oleh Abdul Rahim Sabri*


Watak dan Perwatakan:

Octavio: Anak muda 20an, menganggur
Susana: Kakak ipar kepada Octavio. Sebaya dengan Octavio.
Daniel: Pengurus syarikat majalah. Berumur 40an, berkahwin dan mempunyai dua orang anak perempuan.
Valeria Amaya: Model cantik, seksi dan memberahikan. Teman wanita Daniel.
El-Chivo: Bekas guru dan bekas gerila komunis Zapatistas di Mexico..
Maru: Anak perempuan El-Chivo berusia 20an.


Durasi: 2 jam 30 Minit
Pengarah: Alejandro Gonzalez Inarittu


Sinematografi + Teknik Penggambaran

Trilogi cinta dalam sebuah filem. (a) Kisah cinta Octavio dan Susana. (b) Kisah cinta Daniel dan Valeria, dan (c) Kisah cinta El-Chivo dan Maru. Setiap kisah cinta akan diselang seli dengan babak babak daripada dua kisah yang lain. Ketiga-tiga kisah tersebut akan bertemu pada satu titik pertemuan, iaitu babak ngeri kemalangan jalanraya yang melibatkan Octavio, Valeria dan El-Chivo. Babak kemalangan ngeri itu diulang sebanyak tiga kali, dan merupakan transisi kepada setiap kisah. Dan akhirnya, penonton akan menyusun babak tersebut menjadi sebuah kisah cinta.

Filem dimulai dengan babak klimaks iaitu babak kejar mengejar dan diakhiri dengan babak kemalangan jalanraya. Ia bertujuan untuk menimbulkan rasa tanda tanya tentang punca kejar mengejar antara Octavio dan rakan-rakan Jericho.

Babak kemalangan diambil dari sisi yang berbeza. Dalam babak tersebut sekurang kurangnya, 4 kamera digunakan.. Dan timingnya tepat untuk ketiga-tiga babak dan ketiga-tiga watak (Octavio, Valeria dan El-Chivo) berada ditempat kejadian. Dua kereta berlanggar dipersimpangan lampu isyarat, antara kereta Octavio dan kereta Valeria. Dan Octavio menjadi saksi mata untuk kejadian itu.

Kebanyakan babak diambil dengan kamera close-up pada wajah pelakon. Ia bertujuan untuk menunjukkan perasaan, perwatakan dan suasana ketika itu.


Latar/Tempat:

Bandaraya Mexico dan kawasan pinggir bandar yang sesak dan penduduk yang miskin. Tahun 1999.


Sinopsis + Review


Kisah [a] :

“Aku mengandung lagi.” Kata-kata yang keluar dari mulut Susana diiringi tangisan. Dia menangis dalam pelukan Octavio. Octavio memeluk manja. “Kau larilah bersama-sama aku. Te amor!” Octavio memujuk. Dia cinta Susana.

***
Jericho tak berpuas hati dengan Octavio dan cuba mengatur perlawanan sulit antara mereka melalui perantaraan, Fatso. Taruhan sebanyak 20 000 pesos. Perlawanan ini semata-mata untuk membalas dendam kekalahannya dalam dua kali pertembungan. Sebab pertama; kerana Cofi membunuh Panacho, anjing kesayangan Jericho di luar gelanggang, tanpa taruhan. Dia rugi besar. Kedua, Octavio sudah jadi kaya. Dia menang besar. Jericho dengki dan hasad. Itulah titik hitam pergaduhan meraka.

***

Ramiro tak sayang Susana. Pukul Susana hingga berdarah dan lebam-lebam. Bekerja sebagai cashier di supermarket, berapa sangat yang dapat. Dia tidak tanggungjawab. Kain lampin anak, susu, bahan makanan di dapur selalu diabaikan. Nasib baik ada Octavio. Dia yang menyara Susana dan anaknya. Octavio tak sanggup melihat Susana susah. Dia sanggup buat apa sahaja demi Susana. Tidak cukup dengan kain lampin, permainan budak, dia berikan Susana wang belanja. Ribuan pesos dan “tak habis belanja selama dua tahun,” kata Susana.

Satu malam, dia menggoda Susana. Susana tewas dalam pelukan Octavio. Dia mendatangi dari belakang. Octavio mahukan kepastian, “ ikut aku atau tinggalkan suamimu.” Ketika itu Ramiro dibelasah oleh orang-orang Fatso. Octavio yang rancang. Tapi semua itu tak cukup untuk mengubah cinta Susana. Susana memilih bersama Ramiro. Octavio kecewa.

Octavio bertambah kecewa. Susana lari bersama suaminya. Wang yang dikumpul di dalam peti dibawa bersama. Octavio dalam kesusahan. Kerana perlawanan dengan Jericho semakin dekat. Asal pertaruhan 40 000 pesos, tapi Octavio kekurangan wang. Perlawanan diteruskan juga, tapi Jericho berniat jahat, dia tembak Cofi. Perlawanan berhenti, Octavio marah-marah. Terus sahaja dia bawa Cofi keluar, mengambil wang taruhan dan sebelum pergi, dia menikam Jericho. Jericho mati.

***

“Putain Madre! Puki mak!. Sial, darah keluar banyak! Aku tak boleh buat apa-apa.” Dia tergesa-gesa. Memecut kereta dengan laju. Octavio bukan penjenayah yang dikejar polis atau dia bukan mengejar sesiapa, tetapi dia dikejar oleh rakan-rakan Jericho. Octavio membunuh Jericho, kerana Jericho menembak Cofi, anjing kesayangannya. Dia juga mahu menyelamat Cofi. Dipersimpangan jalan, lampu merah menyala. Octavio terus memecut. Dia melanggar Valeria. Octavio cedera parah. Tapi dia tak mati, cuma patah kaki kiri dan tangan kanan. Kawannya, mati ditempat kejadian.

***

Ramiro merompak bank. Silap caturan, dia ditembak. Dia mati. Dihari pengkebumian, Octavio berjumpa dengan Susana. Jalan terhencot hencot, sambil mengepit tongkat di ketiak. Dia tak marah Susana. Cuma dia mahu Susana mengikutnya keluar dari Mexico dan hidup bahagia bersamanya. Jawapannya tidak. Dia memilih menjadi janda. Walau apa pun terjadi dia tetap sayang Ramiro. Anak kedua yang dikandungnya dinamakan sebagai Ramiro. Tanda cinta akan suaminya. “Esok aku akan keluar dari Mexico, aku harap kau datang bersama aku, fullstop!

Octavio masih berharap. Dia menunggu Susana di perhentian bas. Dia mengharap Susana datang tapi malang, Susana tetap sayang Ramiro. Octavio kecewa, sekali lagi. Cintanya tak berbalas, bertepuk sebelah tangan, masakan berbunyi, tapi itulah ia, amores perros!


Kisah (b):

Dia berhenti dipersimpangan, lalu memerhati poster mega di hadapan. Poster seorang model cantik, seksi dan menggiurkan berposing dengan penuh keghairahan. Daniel tak senang duduk. Dia suka wanita pada poster itu. Hatinya resah. Gelisah. Daniel cinta Valeria, model berdarah Iberia Amerika.

Di rumah telefon berdering. “Hello, Siapa yang bercakap? Sunyi, tiada jawapan. Sekali lagi telefon berdering. Rupa-rupanya panggilan untuk Daniel bukan untuk Julieta. Te amor.” Daniel berbisik di gagang. Daniel cinta Valeria. Dia jadi penipu. Dia buat hubungan sulit dengan Valeria. Balik lewat-lewat malam.Tapi dia sayang isteri dan dua anak perempuannya.

***

“Orang Mexico suka gosip-gosip.” Valeria menipu. Dia membawa Antoro Sandoval dalam siri temuramah di televisyen untuk menafi gosip tentang dirinya. “Inilah kekasih saya,” kata Valeria. Daniel yang rancang semua ini. Sebagai ucapan terima kasih, Sandoval menghiasi muka depan majalah hiburan milik Daniel, dan rahsia percintaan mereka tiada siapa yang tahu. Daniel menghadiahkan sebuah appartment baru untuk Valeria. Valeria sayang Daniel setulus hatinya.

Mereka lunch bersama-sama. Daniel yang masak. Seusai makan, Valeria mohon pulang. Dia memandu kereta. Bersamanya, Richie, anak kesayangannya. Valeria seorang yang berhati-hati, entah apa sialnya hari itu, anaknya buat hal. Bermain-main ditingkap kereta. Macam nak terjun keluar. Valeria menjerit-jerit. Lampu merah, dia berhenti. Mulut masih menyebut Richie, Richie berkali-kali. Lampu hijau, dia masuk gear. Dia mahu belok kanan; tapi dia kecelakaan. Dia tak mati, Cuma cedera parah dari atas paha kanan hingga betis.

***

Daniel sudah berpisah dengan isterinya. Dia cinta Valeria. Valeria suka. Dia dapat suami kaya dan hensem. “Richie, mama dah balik, sayang. Richie, Richie!” Valeria memanggil manja nama anaknya. Anaknya datang. Valeria tersenyum lalu mendakap dan mencium anaknya. “Mama sayang Richie. Apa yang Richie buat bila mama tiada, hah?”

Celaka, satu hari tu, Valeria bermain-main dengan anaknya, tiba-tiba bola masuk lubang. Richie masuk ke dalam lubang itu dan dia tak keluar-keluar. Valeria kecewa. Dia tiada teman. Dia sunyi. Dia marah-marah Daniel kerana, tak keluarkan Richie dari lubang. Mereka gaduh-gaduh. Satu hari, Daniel pulang. Tai rumah habis kopak-kopak. Valeria mencari Richie yang hilang beberapa hari di dalam lubang. Daniel marah. Dia hilang sabar. Dia rempuh masuk ke bilik, tapi Valeria pengsan di atas lantai.

***

Dr Ramon berkata, kakinya tidak boleh diselamatkan lagi. Darah tak sampai kawasan yang dirawat. Arterial Trombosisi, darah tak dapat membina tisu-tisu baru. Tisu yang lama telah rosak dan dijangkiti kuman, “kakinya harus dipotong.” Daniel tunduk, kecewa.

Dia pulang kepenatan. Seharian dia hospital. Entah – mungkin rahmat agaknya! – dia mendengar suara Richie. “Richie, Richie,” disebutnya beberapa kali. Entah, apa anginnya hari tu, dia kopakkan sendiri tai rumahnya. Nak selamatkan Richie, anjing kesayangan isterinya. Richie tidak mati walaupun beberapa hari dia tak makan. Richie hanya luka-luka. Sikit sahaja!

***

Valeria pulang. Dia tak sayang Richie lagi. Dia muram. Dia sedih. Kakinya dipotong. Dia berkerusi roda. Dalam rumah, dia terus sahaja, ke jendela. Dia melihat di luar jendela, poster mega itu sudah tiada. Kariernya sudah habis. Kini, dia sudah tidak seksi. Tiada lagi betis gebu, tiada lagi paha seksi. Bagi Daniel, semuanya tiada erti. Dia hilang isteri dan anak-anaknya. Dia hilang keghairahan Valeria dan dia kehilangan cinta. Dan itulah dia, amores perros!



Kisah (c):

Dia berjalan-jalan bersama rakan-rakan di tengah bandar Mexico. Mencari besi dan barang-barang terpakai. Apa sahaja yang dianggapnya berharga, dia akan mengambilnya dan membawa pulang ke rumah.

***

Tiba-tiba air mata menitis setelah menatap surat khabar pagi itu. Berita tentang kematian isterinya tersiar dalam surat khabar. Dia mengoyak keratan akhbar itu dengan niat untuk menghadiri pengkebumian mendiang isterinya. Sekaligus melihat anaknya, Maru. Maru tidak membesar dihadapannya. Dia membesar sewaktu El-Chivo meringkuk 20 tahun di dalam penjara. Dia ingin memeluk anaknya.

Apa yang kau buat di sini? Aku nak lihat anak aku dan mendiang isteri aku. Inikan negara bebas.” El-Chivo menjawab persoalan kakak iparnya.

Maru tak pernah kenal ayahnya. Kata ibu, “ayah sudah mati.” Tapi tidak, ayahnya masih hidup cuma dia tak kenal. Setiap hari El-Chivo mengadap tingkap rumah anaknya, dan setiap hari Maru dihantui tanda tanya, siapa lelaki berjambang yang muncul setiap hari di luar jendela? Dia melambai tangan, tapi tak dibalas. Maru bertambah hairan.


***

Dia membuka laci. Dia mencapai sekeping gambar dan sepucuk pistol. Dia nak bunuh, orang yang bertanggungjawab menangkap dan memenjarakannya dahulu. Dia tak takut. Dia pernah perang gerila. Dia komunis. Dia rebel. Apa nak takut! Hatinya bulat dan nekad. Dia tembak lelaki itu dan terus lari.

***
Dia memecah masuk rumah anaknya. Dia bukan nak curi duit. Dia bukan nak curi barang dan jual di pasar dengan harga yang murah. Ada lagi yang lebih berharga. Album gambar. Dia senyum sendirian. Melihat gambar-gambar nostalgianya bersama isteri serta Maru sewaktu kecil.

***

“Dahulu dia bekas guru, dan bekas gerila komunis Zapatistas. Dia yang merancang untuk meletupkan gedung membeli belah di Mexico, dia yang menculik seorang pekerja bank, dia yang bertanggungjawab membunuh polis dan dia juga seorang yang berpengaruh sehingga mempunyai angkatan tenteranya sendiri –White Brigade,” Leonardo memperkenalkan El-Chivo kepada Gustavo Miranda Garfias.

Lelaki ini mahu mengupah El-Chivo untuk membunuh saudaranya, Luis Miranda Solares kerana menipunya dalam perniagaan. El-Chivo setuju dan dia dibayar 100 000 pesos sebagai pendahuluan dan 50 000 setelah selesai kerja. Setiap hari dia memerhati gerak geri Luis. Percubaan membunuh kali pertama; di sebuah mini-market, gagal.

***

Dia berjalan dibelakang Luis. Memerhati dan mengekorinya. Richie berselisih dengan El-Chivo. Richie menyalak dengan kuat berkali-kali kepada El-Chivo dan rakan-rakannya. Luis terus diekori. Sampai di sebuah restoran berhampiran simpang, tiba-tiba dentuman kuat kedengaran. Satu kemalangan. El-Chivo terkejut. Luis terselamat. El-Chivo menyelamatkan Octavio dan sempat mencuri wang pertaruhan berserta dompetnya. Cofi, dibawa keluar, dan El-Chivo menyelamatkannya!


***

Cofi dirawat dengan baik. Dia semakin sihat. Tapi anjing tetap anjing. Anjing rebel tetap anjing rebel. Dia bunuh semua rakan-rakan yang menemani El-Chivo.“Flor, Frijol... Gringuita, jangan tinggalkan aku!” El-Chivo menangis. Dia sedih. Dia nak bunuh Cofi, tapi dalam diri, ada nilai kemanusiaan. Rasa cinta kepada bintang masih lagi wujud.

***

Setelah dua kali gagal, dia tak gamak nak membunuh. Dia dah taubat. Dia memanggil Gustavo datang. Dia suruh Gustavo bunuh sendiri saudaranya. Gustavo takut dan menangis. Dia betul-betul taubat. Dia kemaskan diri. Dia memotong rambut, mencukur jambang dan misai, mengetip kuku, mandi dan bersihkan diri. El-Chivo berwajah baru. Dia bersih seperti dia menjadi guru suatu ketika dahulu.

Dia mengambil gambar. Kedai gambar betul-betul dihadapan bangunan, yang menggantung poster mega Valeria. Ketika itu, poster itu sedang diturunkan. Di rumah anaknya, dia mengembalikan album berserta gambar terbarunya. Kemudian dia menangis, seraya berkata, “Aku bersumpah dengan ibumu agar tidak berjumpa denganmu, tapi aku gagal, aku rindu padamu, te amor.” Kerana cinta dan anjing, wang ringgit, harta benda, kasih sayang, keegoan, dendam kesumat, dengki, kesedihan menjadi taruhan. Ada sahaja yang terkorban. Love is a bitch, amores perros!

***

Akhirnya, Cofi hidup. Kawan-kawan lain mati. Dia mengikut El-Chivo keluar dari bandar Mexico. Dia ada nama baru, Blackie. Martin El-Chivo yang bagi.


* * Abdul Rahim Sabri, 26, penulis bebas. Berasal daripada Perlis. Menulis cerpen, rebiu filem dan drama pentas. Mengurus grup teater daripada Perlis, Republik Cinta. Koordinator grup seni dan budaya, Kumpulan Seni Jalan Telawi (KsJT). Sebarang komentar atau kritikan boleh diemelkan kepada rahimbensabri@yahoo.com atau melawati blognya, www.guaqsanji.blogspot.com.