Tuesday, May 03, 2011

'Aku nampak setan'

ULASAN FILEM Plot filem 'I Saw The Devil' arahan Kim Jee-Woon cukup mudah tapi penuh helah yang tidak disangka-sangka. Filem ini genre psyco-thriller - yang saya yakin - ramai penonton akan berkata, “Ya, Allah” dan mengerut dahi sambil berkata "errgh" sudah pastinya meramang bulu roma.

Filem ini merupakan karya keenam beliau, selepas mengarahkan beberapa filem antaranya genre seram - "A Tales Of Two Sisters", "A Bittersweet Life" (noir) dan ala 'Western Spegetti" - The Good, The Bad and The Weird".

'I Saw The Devil' mengisahkan balas dendam seorang agen perisik Biro Persekutuan Korea Selatan, Kim Soo-Hyun (Lee Byung Hun) yang kematian tunangnya Ju-Yeon (Oh Sah-Ha). Kekasihnya dibunuh dengan kejam dan sadis oleh Kyung-Chul (Choi Min Sik) pada suatu malam pada musim sejuk di Korea Selatan.

Tubuh badan Ju-Yeon dikerat-kerat, kepalanya dipenggal dan dibuang ke dalam sebatang anak sungai. Dalam filem ini, Kim - pada pendapat saya - berjaya mewujudkan perwatakan Kyung-Chul sebagai "setan yang enjoy" melakukan kekejaman yang sadis terhadap wanita tanpa rasa bersalah dan berdosa.

"Kyung-chul adalah bukan manusia. Wataknya dilahirkan betul-betul sebagai syaitan. Sejak saya ditugaskan memegang watak tersebut, saya sedaya upaya menonjolkan suasana hitam, kejahatan dan sifat ganas dalam diri saya," kata Choi Min Sik dalam satu temuramah.

Susulan tersebarnya berita kematian itu, Soo Hyun nekad untuk membalas dendam di atas kematian itu malah mendapat restu oleh bakal bapa mentuanya kapten bersara Jang lakonan Jeon Gook-Hwan.

Jang menggunaan 'jaringannya' sewaktu berkhidmat dalam bahagian jenayah ganas selama 30 tahun, menyalurkan fail beberapa wajah suspek pembunuh bersiri kepada Soo Hyun bagi membalas dendam terhadap kematian ngeri anaknya itu.

Dalam filem ini - sudah pasti Kim tidak mempunyai masalah - apabila beliau memasuki elemen seram dengan menunjukkan cara bagaimana Kyung Chul menetak, memukul mangsa bertubi-tubi sehingga mati, bahkan menunjukkan babak memancung mangsa yang diculiknya dengan gilotin .

Elemen membalas dendam Soo Hyun juga tidak kurang hebatnya jika hendak dibandingkan dalam filem Quentin Tarantino. Sepanjang dua jam 21 minit, Kim menggarapkan elemen dan aksi pertarungan tanpa belas kasihan kepada suspek yang didakwa membunuh tunangnya dengan brutal dan dilakukan dengan hati kering.

"Saya memulakan pembikinan filem yang ingin saya tonton. Minat dan kelainan dalam genre menjadi matlamat utama saya.

"Tetapi 'I Saw The Devil' adalah filem yang memfokuskan pada emosi dua lelaki dan aksi penyeksaan masing-masing atas nama balas dendam berbanding hanya memberi tumpuan shot bagi melengkapkan genre filem," kata Kim dipetik dalam satu kenyataan.

Menjejaki pembunuh dan perogol bersiri itu, tidak sukar bagi agen perisik persekutuan itu. Beliau sekadar bertanya sepasang warga emas - yang merupakan ibu bapa Kyung Chul - Si ibu berkata, " Tukang paip tu ... Sudah lama kami tidak jumpa dia". Akhirnya dia mengetahui rumah pembunuh itu.

Modus operandi 'setan' itu hanya bermundar-mandir dengan sebuah van sekolah umumnya mencari perempuan yang sedang menunggu bas untuk pulang ke rumah. Maka tidak hairan, barang-barang yang disimpan rapi dalam laci milik perempuan yang dibunuhnya termasuk menyimpan 'bra' warna warni, berbunga-bunga dan pelbagai saiz dalam almari.

Suatu malam Hyun, berjaya menjejaki setan itu, dengan mengekorinya ke pusat pembenihan tanaman. Ketika itu, si setan itu cuba merogol budak sekolah. Maka berperanglah - Soo Hyun tanpa senjata melawan Kyung Chul yang memegang sabit. Gegak gempita pusat pembenihan itu selama 10 minit sehingga tewasnya si setan.

Maka, di sinilah memperlihat kebijaksanaan 'master director of genre' ini sewaktu meneruskan naratif cerita. Soo Hyun boleh saja membunuh terus si bajingan itu, tetapi sekadar menyeksanya sedikit demi sedikit, supaya dia merasai kepedihan yang dialami oleh ayah dan dirinya sendiri.

Soo Hyun sekadar memotong urat keting kanan, memijak jari tangan kanan si bedebah itu sehingga patah dan memaksanya menelan kapsul pengesan untuk mengetahui gerak geri pembunuh itu.

Selepas itu, Kyung Chul rupa-rupanya bersembunyi di rumah rakan seangkatanya, yang juga bersifat 'setan' sepertinya. Rumah itu terletak dalam hutan, dan hanya dihuni bersama teman wanitanya.

Kesinambungan babak diteruskan dengan penjejakan setiap langkah dan gerak geri si bedebah itu. Setiap kali pertempuran, sedikit demi sedikit seksaan Soo Hyun ke atas Kyung Chul. Dan dia juga berasa hairan setiap kali dia melepaskan diri, agen persekutuan tahu di mana kedudukannya.

Ini menyebabkan beliau tersedar, lalu dia makan julab untuk membolehkan membuang air besar mengeluarkan kapsul pengesan dan memasukkannya ke dalam mulut seorang pegawai polis yang mengekorinnya. Ini bermakna Soo Hyun tidak dapat menjejakinya, dan dengan harapan dia terselamat.

Namun, akhinya dia berjaya menjejaki dan menculik Kyung Chul yang hampir diberkas oleh polis. Kyung Chul di bawa ke rumahnya sendiri, tanpa pengetahuan polis.

Antara babak terakhir bagaimana Soo Hyun menyeksa Kyung Chul sedikit demi sedikit dalam satu masa seperti mengikat tangan ke belakang dengan di atasnya gilotin, mencucuh putung rokok pada dahi, menembuskan pipi dengan pemulas skru dan akhirnya kepalanya dipenggal gilotin.

Labels: