Saturday, April 07, 2012

Membaca Faslul Maqal

Abdul Rahim Sabri*


Sebelum ini, saya ada menegaskan bahawa trilogi agama dan falsafah Ibn Rushd harus dibaca bersama dan seiring bagi merasai 'flow' kritikannya terhadap pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) khususnya kepada karya Imam Abu Hamid al-Ghazali.


Secara umum, Faslul Maqal adalah kitab "fatwa" pengharmonian antara agama dan falsafah sebagai mengkritik dan menolak pandangan kumpulan tersebut sebelumnya yang 'mengkafirkan' ahli falsafah, dan seterusnya mengharamkan membaca karya mereka.


Dua lagi buku – Al-Kashfu 'An Manahij dan Tahafut al-Tahafut adalah menjawab kritikan dan memberi jalan keluar terhadap permasalahan akidah yang diperdebatkan sebelum itu sehingga kemuncaknya di zaman Hujjatul Islam, Abu Hamid al-Ghazali.


Maka, teknik pembacaan terhadap ketiga-tiga buku itu perlu diambil kira, kerana gaya bahasa yang digunakan, walaupun dilihat mudah dan starightforward, tetapi ia "penuh dengan makna" (Faiq min al-Ma'na) bagi orang yang berfikir tentangnya.


Sebelum itu, secara ringkas kegiatan berfalsafah ketika penulisan kitab ini (574H/1178M) mendapat dokongan daripada pemerintahnya Amirul Mukminin Abu Ya'qub Yusuf Abdul Mu'min. Bahkan penulisan ini dilakukan selepas beliau dilantik menjadi qadi di Seville pada 565H/1169M dan menjadi Qadi Agung di Kordova, dua tahun berikutnya.


Harus diingat, Ibn Rushd menulis kitab ini selepas menguasai dan meringkaskan karya Aristotles dan ahli falsafah Greek yang lain mengenai ilmu mantiq yang dipanggil al-Talkhis dan al-Mukhtasar.


Malah beliau juga telah mencapai satu tahap dengan menguasai cabang ilmu agama yang lain, maka tidak hairan, susunan ayat dan gaya bahasanya lebih mudah dan logika bahasa sebagai seorang pengamal undang-undang (jurist).


Failasuf agung ini menulis Faslul Maqal dan Al-Kashfu 'An Manahij di Marrakesh, Maghribi dalam suasana di Andalusia ketika itu cukup kondusif untuk menulis ketimbang masyarakat berbilang kaum dan agama hidup dalam keadaan aman dan harmoni.


Mengulas mengenai pemikiran dan metodologi failasuf Kordova itu, al-Marhum Mohamed Abid Al-Jabiri menulis dalam buku "Ibn Rushd: Fikrah wa Sirah" menegaskan secara khususnya mengenai peranan tatabahasa dan gaya "al-tawatur" dalam tulisan failasuf itu.


Dengan mengambil contoh dalam satu perenggan, beliau akan memulakan dengan satu muqaddimah (premis) dengan ayat yang lengkap kemudian beliau akan menghuraikannya dengan ayat lengkap yang lain.


Sekiranya, premis itu agak panjang, dan beliau akan menjelaskannya dalam perenggan yang lain , dengan meletakkan perkataan yang menunjukkan kesinambungan kepada premis sebelumnya dan kemudiannya mengakhiri dengan kesimpulan.


Dalam bahasa Arab, ia boleh disimpulkan umumnya seperti berikut: 'In' (atau 'anna' atau 'lamma' atau 'Iza' dsb [untuk menunjukkan permulaan premis]) kana... wa kana... wa kana... (sehingga akhir) ... fa (sebagai jawapan atau kesimpulan)".


Perkataan yang dihitamkan merupakan "al-Tawatur" ertinya berturutan sewaktu mengemukakan sesuatu premis dalam huraian ayat yang lengkap dan mudah sebelum diakhiri dengan kesimpulan kepada premis tesebut.

Dan selepas itu, beliau akan meneruskan hujah dengan topik yang dikaitan dengan menggunakan kaedah yang sama juga.


Contoh pertama:


Perenggan kedua dalam kitab Fasl al-Maqal yang 'mengistibat' hukum mengenai mempelajari teori falsafah dan cabang ilmu-ilmu logik. Kata Ibn Rushd:


"Sekiranya aktiviti falsafah itu tidak lebih dari pemerhatian tentang kewujudan (sesuatu), dan merenung dari sudut bukti kewujudan penciptanya – maksud aku apakah itu ciptaan, maka sesungguhnya pemerhatian itu menjelaskan wujudnya pencipta dengan mengetahui hasil ciptaannya. Sesungguhnya semakin mengenali tentang hasil ciptaannya dengan sempurna, semakin sempurna pengetahuan tentang pencipta,


"Dan syara' sesungguhnya menganjurkan agar merenung terhadap kewujudan bahkan menggalakkan aktiviti ini. Maka jelas apa yang medorong atas nama ini: sama ada ia wajib pada syara' atau harus".


Seterusnya pada perenggan ketiga:


"Maka, adapun syara' menyeru kepada merenung sesuatu kewujudan dengan akal, dan pengulangan pemerhatian dan berksperimen dengannya untuk mengetahui tentangnya, oleh itu hal ini telah dijelaskan pada beberapa ayat al-Quran iaitu:


"Maka ambillah iktibar, wahai ahli pemerhati" (al-Baqarah ayat 59)


Ayat di atas mengenai kewajipan menggunakan al-Qiyas Al-Aqli (analogi rasional) atau al-Qiyas Al-'Aqli bersama-sama dengan al-Qiyas al-'Syar'i (analogi syara').... Begitulah beberapa contoh ayat seterusnya.


Seterusnya peranggan keempat:


"Apabila syara' menetapkan bahawa sesungguhnya kewajipan melakukan pemerhatian dengan menggunakan terhadap kewujudan dan renungan buktinya, maka ia tidak lebih daripada mengistinbat perkara yang tidak diketahui (majhul) kepada difahami, dan proses tersebut dinamakan qiyas (atau) atau dengan menggunakan qiyas (bil qiyas), oleh itu WAJIB kita menggunakan pemerhatian terhadap kewujudan dengan menggunakan analogi rasional


Ini bermakna, Ibn Rushd menggunakan kaedah itu – sebahagian besarnya – sewaktu menulis kitab ini. Ini bermakna setiap gaya dan lenggok bahasa yang digunakan perlu diambil kira atau diberi perhatian bagi mengelakkan daripada salah faham.


Saya sengaja menyebut tiga perenggan di atas dengan alasan: 1) Bagi menunjukkan bagaimana sifat "al-Tawattur' yang diaplikasikan dan 2) Bagaimana ijtihad Ibn Rushd menjawab tuduhan membaca kitab falsafah oleh ahli falsafaha dahulu (al-qudama') adalah haram.



* Abdul Rahim Sabri adalah wartawan Malaysiakini.com. Graduan Usuluddin Universiti Malaya.

Labels: